Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog mutiara-sunnahnabi.blogspot.com

Sabda Nabi SAW: "Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam 6 dalam bulan Syawal, ia seperti berpuasa sepanjang tahun" (Soheh Muslim; 1164/204. Dari Abu Ayyub al-Ansari RA. Hadis turut terdapat dalam Sunan/Jami' at-Tirmizi; 759 dan Sunan Abu Daud; 2433).


صوموا تصحوا

"
Berpuasalah, nescaya kamu akan menjadi sihat".

Hadis ini direkodkan oleh Imam at-Tabrani dalam kitabnya al-Mu'jam al-Ausat (Imam at-Tabrani) dengan lafaz (bermaksud); "Berperanglah, nescaya kamu akan beroleh harta rampasan. Berpuasalah, nescaya kamu akan menjadi sihat. Bermusafirlah, nescaya kamu akan beroleh kekayaan/kecukupan" (No. hadis; 8321, dari Abu Hurairah RA). Lafaz hadis "Berpuasalah, nescaya kamu akan menjadi sihat" turut diriwayatkan oleh Imam Ibnu Sunni dan Imam Abu Nu'aim (dari Abu Hurairah RA juga) mengikut yang yang dinaqal oleh Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Jami' as-Saghier (hadis no. 5060). Status hadis; menurut Imam al-'Iraqi; sanad hadis ini adalah dhaif (Takhrij Ahadith al-Ihya').


(1) Sabda Nabi SAW; "Apabila berbaki separuh daripada bulan sya'ban janganlah kamu berpuasa (hinggalah tiba ramadhan)" (Jami' at-Tirmizi; 738, hasan soheh).
(2) Sabda Nabi SAW; "Janganlah sesiapa mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa" (Soheh al-Bukhari; 1914).
(3) 'Ammar bin Yasir RA berkata; "Sesiapa berpuasa pada hari syak (30 sya'ban) dia mengingkari Abal Qasim (Nabi Muhammad SAW)" (HR al-Bukhari secara mu'allaq dan at-Tirmizi. Jami' at-Tirmizi; 686, hasan soheh).
 

Menurut Imam ar-Ruyani; hukum puasa selepas nisfu sya'ban adalah makruh. Adapun puasa sehari atau dua hari sebelum ramadhan hukumnya haram (Tuhfah al-Ahwazi; 2/275). Namun menurut ulamak dikecuali dari larangan tersebut tiga orang;
1. Orang yang meneruskan puasa yang dimulainya sebelum bulan
sya'ban masuk separuh kedua (yakni sebelum 16 sya'ban), sekurang-kurangnya ia berpuasa dari 15 sya'ban.
2. Orang yang meneruskan kebiasaan puasanya; seperti ia biasa berpuasa isnin dan khamis atau puasa nabi daud AS.
3. Puasa qadha, nazar dan kaffarah.

1. Hadis dari Mu’az bin Jabal RA yang menceritakan; Nabi SAW bersabda; “Pada malam nisfu Sya’ban, Allah melihat kepada sekelian makhlukNya, lalu Dia mengampunkan ke semua mereka kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuh dengan saudara seagama” (HR Imam Hibban dan at-Thabrani (Soheh Ibnu Hibban; 5665. Al-Mu’jam al-Kabir, at-Thabrabi; 215). Menurut Imam al-Haithami; para perawi hadis ini adalah tsiqah (lihat; Majma’ az-Zawaid; 12960). Menurut Syeikh Syu’aib al-Arnaut; hadis ini soheh bisyawahidihi (Lihat; tahqiq Soheh Ibnu Hibban, Muassasah ar-Risalah; 12/481).

2. Hadis dari Ummul Mukminin Aisyah RA yang menceritakan; Suatu malam aku mendapati Rasulullah tiada bersamaku, lalu aku keluar mencari beliau. Aku menemuinya di perkuburan al-Baqi’ sedang mendongak kepalanya ke langit, lalu baginda berkata kepadaku; “Wahai Aisyah, apakah kamu khuatir Allah dan RasulNya akan menganiayai kamu”. Aku menjawab; “Aku tidak rasa begitu, akan tetapi aku mengangka kamu keluar ke rumah isteri kamu yang lain”. Lalu Nabi bersabda; “Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah Taala turun ke langit dunia, lalu Dia mengampunkan hambanya lebih ramai dari bilangan bulu kambing milik kabilah Kalb (*Kabilah al-Kalbi; satu kabilah di kalangan orang Arab yang paling banyak membela kambing) (HR Imam at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; Imam al-Bukhari telah mendhaifkan hadis ini. Lihat; Jami’ at-Tirmizi; 739).

3. Hadis dari Ali bin Thalib RA yang menceritakan; Nabi SAW bersabda; “Bila tiba malam Nisfu Sya’ban, bangunlah menghidupkan malamnya dan berpuasalah pada siangnya kerana sesungguhnya Allah turun pada malam itu ke langit dunia bermula dari saat terbenam matahari dan Allah berkata; Tiadakah orang yang memohon ampun untuk Aku ampuninya. Tiadakah orang yang memohon rezki untuk aku beri rezki kepadanya. Tiadakah yang ditimpa bala, untuk aku beri keselamatan untuknya. Tiadakah orang yang melakukan demikian dan demikian…hinggalah terbit fajar”. (Sunan Ibnu Majah; 1388. Menurut Imam al-‘Iraqi; isnad hadis ini dhaif. Lihat; Takhrij Ahadith Ihya’ ‘Ulumiddin; 1/203).