Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog mutiara-sunnahnabi.blogspot.com

Al-‘Irbadh bin Sariyah RA yang menceritakan; Rasulullah SAW mengerjakan solat subuh bersama kami, kemudian baginda menghadapkan mukanya kepada kami, lalu menyampaikan peringatan dengan suatu peringatan yang sungguh-sungguh di mana baginda menyebutkan;
.
“Sesungguhnya aku telah tinggalkan kamu di atas agama yang terang yang malamnya seperti siangnya, tidak tersasar darinya setelah ketiadaanku melainkan orang yang bakal binasa.
.
Sesiapa yang masih hidup di kalangan kamu nescaya dia akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu semua berpegang dengan ajaran yang kamu ketahui dari sunnahku dan sunnah khulafak rasyidin yang sentiasa dalam petunjuk, gigitlah dengan geraham-geraham kamu.
.
Hendaklah kamu mentaati (pemimpin kamu) sekalipun dia seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya seorang mukmin (mudah dipimpin) sama seperti unta yang senang dipimpin. Apabila dipimpin (ke jalan Syarak) dengan mudah dia mengikutinya”.
.
(HR Ahmad, al-Hakim dan Ibnu Majah. al-Jami' al-Saghier; 6096. Menurut al-Suyuti; hadis soheh).

1. Orang bersin ucap tahmid. Orang yang dengar ucap tasymit (يرحمك الله). Orang bersin menjawab tasymit;  (يهديكم الله ويصلح بالكم).

2. Menutup mulut dan merendahkan suara.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا عَطَسَ غَطَّى وَجْهَهُ بِيَدِهِ أَوْ ثَوْبِهِ وَغَضَّ بِهَا صَوْتَهُ. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَأَبُو دَاوُدَ. وَقَالَ التِّرْمِذِيُّ: هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيح

Abu Hurairah RA menceritakan; Nabi SAW apabila bersin baginda akan menutup mukanya dengan tangannya atau pakaiannya serta merendahkan suaranya (HR al-Tirmizi dan Abu Daud. Hadis hasan soheh).

(وَغَضَّ) أَيْ: خَفَضَ أَوْ نَقَصَ بِهَا، أَيْ: بِالْعَطْسَةِ أَوْ بِالتَّغْطِيَةِ (صَوْتَهُ) : وَالْمَعْنَى لَمْ يَرْفَعْهُ بِصَيْحَةٍ، وَالْجَارُّ وَالْمَجْرُورُ مُتَعَلِّقٌ بِصَوْتِهِ.
Rujukan; Mirqaat al-Mafatih.

Dalam riwayat al-Hakim;

عن أبي هريرة ـ رضي الله عنه ـ قال: قال رسول الله ـ صلى الله عليه وسلم ـ: (إذا عطس أحدكم فليضع كفيه على وجهه، وليخفض صوته) 

Berkata Ibnu Muflih dalam kitabnya al-Adab al-Syar'iyyah;

(ويُسن أن يغطي العاطس وجهه، ويخفض صوته إلا بقدر ما يسمع جليسه ليشمته.

(https://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=205122)

3. Jika seorang bersin berulang-ulang kali dan mengucapkan tasymit setiap kali bersin, kita dituntut bertasymit hingga tiga kali sahaja.


عَنْ إِيَاسِ بْنِ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يُشَمَّتُ الْعَاطِسُ ثَلَاثًا، فَمَا زَادَ فَهُوَ مَزْكُومٌ»

Dari Salamah bin al-Akwa' RA menceritakan; Rasulullah SAW bersabda; "Ditasymitkan orang bersin sebanyak tiga kali. Adapun yang lebih dari itu, maka orang yang bersin itu ditimpa zukam (selesema)" (Sunan Ibnu Majah; 3714).

Berkata DR Mustafa al-Bugha; maksud mazkum ialah ditimpa zukam (selesema; Kamus Marbawi) hingga menyebabkan dia banyak bersin, maka tidak perlu lagi mentasymitnya (Mukhtasar Sunan Ibnu Majah).

Hadis yang sama terdapat dalam Soheh Muslim; 2993, al-Tirmizi; 2743 (hasan soheh), Abu Daud; 5037.

Berkata Imam al-Nawawi; jika seseorang itu berulang bersin berturut-turut, maka yang menjadi sunnah mentasymitnya setiap kali ia bertahmid hingga sampai tiga kali.

Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; jika ia bersin tiga kali dan engkau telah mentasymitnya tiga kali, setelah itu (jika ia bersin lagi), katakan kepadanya; "عافاك الله إنك مزكزم".

Rujukan; (islamqa.info/ar/answer/170266).

280- باب الصلاة على النبي صلى الله وعليه وسلم
640 - عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: (أَيُما رَجلٍ مُسلمٍ لَم يَكن عِندهُ صَدقة فَليقلْ فِي دُعائه: اللهُم صَلِ عَلى مُحمدٍ عَبدِك ورسُولِك، وصَلِ عَلى المُؤمنينَ والمُؤمنَاتِ والمُسلمينَ والمُسلِمات، فَإنَّها لَه زَكاةٌ)

Dari Abu Sa'id al-Khudri RA; Nabi SAW bersabda; "Mana-mana lelaki muslim yang tidak ada harta untuk disedekahkan, maka ucapkanlah dalam doanya (selawat berikut);
اللهُم صَلِ عَلى مُحمدٍ عَبدِك ورسُولِك، وصَلِ عَلى المُؤمنينَ والمُؤمنَاتِ والمُسلمينَ والمُسلِمات
"Ya Allah, limpahilah selawat (rahmat dan keredhaanMu) ke atas (Nabi) Muhammad SAW hambaMu dan RasulMu, dan limpahilah juga selawat (rahmat dan keredhaanMu) ke atas sekelian orang beriman yang lelaki dan yang perempuan serta sekelian orang Islam lelaki dan perempuan"
Maka sesungguhnya selawat ini (umpama) zakat baginya (HR al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (640), Ibnu Hibban dalam Sohehnya (903), al-Hakim dalam al-Mustadrak (7175) dan al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir (2950). Menurut al-Suyuti; hadis hasan).

Maksud "umpama zakat"; yakni membaca selawat ini seperti berzakat atau bersedekah kepada orang susah (Fidhul Qadier), atau pahala bagi pembacanya seperti bersedekah (al-Tanwir, Imam al-Son'ani).   


1. Menghidupkan malam hari raya dengan ibadah. Sabda Nabi SAW; “Sesiapa bangun beribadah pada malam dua hari raya kerana mengharapkan pahala dari Allah, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati yang lain” (Sunan Ibnu Majah; 1782, dari Abu Umamah RA. Menurut an-Nawawi; hadis ini dhaif. Namun kata beliau; hadis dhaif diberi kelonggaran untuk dipakai dalam fadhilat amalan. Lihat; al-Azkar, hlm. 260).

2. Menyelesaikan zakat fitrah sebelum solat hari raya. Ibnu ‘Umar RA menceritakan; “Nabi SAW menyuruh dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar menunaikan solat hari raya” (Musnad Ahmad; 6467, isnadnya soheh. Jami’ at-Tirmizi; 677, hasan soheh).

Sabda Nabi SAW: "Makanlah minyak zaitun dan berminyaklah dengannya kerana ia datang dari pohon yg diberkati" (Sunan at-tirmizi: 1851, 1852. hadis soheh). Sabda baginda juga: "Berlauklah dgn minyak zaitun dan berminyaklah dengannya kerana ia dari pohon yang diberkati" (Mustadrak al-hakim: 7142. status hadis: soheh).

* Zaitun disebut sebanyak 5 kali dalam Quran (al-an'am: 99 dan 141, an-nahl: 11, at- tin: 1, an-nur: 35). 

Di dalam al-Quran disebut susu ternakan secara umum (lihat; an-Nahl, ayat 66). Ia merangkumi susu lembu, unta, kambing dan biri-biri. Hadis ada menyebutkan kelebihan susu tertentu secara khusus.

1) SUSU LEMBU; Sabda Nabi SAW; “Allah tidak menurunkan penyakit melainkan dia menurunkan bersamanya ubat. Hendaklah kamu mengamalkan susu lembu, kerana ia makan dari pokok-pokok” (Soheh Ibnu Hibban; 6075, dari Ibnu Mas’ud RA. Status hadis; isnadnya soheh. Lihat; Tahqiq Soheh Ibnu Hibban, Syeikh Syu’aib al-Arnaut).

Dari hadis ini, para ulamak thib nabawi menyimpulkan; susu-susu yang datang dari lembu berbeza antara satu sama lain bergantung kepada padang rumputnya. Padang rumput di kawasan panas menjadikan susu bersifat panas dan padang rumput di kawasan sejuk menjadikan susu bersifat sejuk. Jenis-jenis rumput yang dimakan juga akan memberi kesan kepada susu yang terhasil. Kerana itu susu dapat memberikan manfaat ubatan bagi penyakit yang pelbagai mengikut manfaat daun yang dimakannya. (Soheh at-Thib an-Nabawi, Imam Syamsyuddin Abi ‘Abdillah al-Ba’li al-Hanbali ad-Dimasyqi, halaman 98).

Menurut kitab Thib Nabawi (Ibnul Qayyim); susu lembu adalah susu paling seimbang dan paling baik, berada di tengah2 antara susu biri2 dan susu kambing biasa dalam segala segi (hlm. 325).


2) SUSU UNTA; dalam Soheh al-Bukhari ada diceritakan; Nabi SAW menyuruh beberapa yang sakit di Madinah supaya berubat dengan susu unta (Soheh al-Bukhari; 5686). Ada diriwayatkan juga dari Nabi SAW; "Pada susu unta terdapat penawar bagi zaribah" (Syarah Musykil al-Atsar (Ibnu al-Munzir); 654, dari Ibnu 'Abbas RA). Zaribah ialah perut yanng menghadapi masalah penghadaman (Fathul-Bari, 13/70. an-Nihayah).

Kandungan susu unta mendedahkan mukjizat kenabian sama seperti unta juga yang disuruh Allah supaya manusia melihat kebesaran Allah darinya; "Apakah mereka tidak melihat kepada unta; bagaimana ia diciptakan?" (al-Ghasyiyah, ayat 17);
a) Nisbah lactose (gula susu) dalam susu unta merupakan yang paling tinggi berbanding susu-susu yang lain, iaitu 5.78%. Kerana itu susu unta lebih manis. Laktose ini dicerna oleh enzyme lactase di dalam badan untuk menjadi glukosa dan galaktosa (gula yang lebih sederhana) untuk menghasilkan tenaga kepada tubuh.
b) Susu unta mempunyai kandungan lemak yang paling rendah iaitu 2.9%, berbanding 7.6% dalam susu kerbau, 5.5% dalam susu biri-biri, 4.5% dalam susu lembu dan 3.8% dalam susu kambing biasa. Oleh itu, risiko peningkatan kolestral dengan meminum susu unta lebih rendah dari susu-susu yang lain.
c) Air; nisbah air dalam susu unta ialah 89.6%. Nisbah ini adalah yang paling tinggi jika dibandingkan dengan susu-susu yang lain. Ia sesuai dengan keperluan penduduk di padang pasir yang panas yang menjadi pengguna terbanyak bagi susa unta. Dengan meminum susa unta akan menghilangkan dahaga mereka hampir seperti meminum air.
d) Susu unta kaya dengan vitamin H iaitu tiga kali ganda dari susu-susu lain.
e) Kandungan protein dalam susu unta sekitar 2.5 hingga 4.5%, iaitu lebih rendah dari nisbah protein yang ada dalam susu lembu dan kambing. Nisbah casein dalam protein susu unta iaitu 70% -berbanding 80% dalam susu lembu-, menjadikan susu unta lebih mudah dihadamkan oleh perut. Oleh itu, susu unta paling sesuai diberikan kepada pesakit dalam tempoh pemulihan/rawatan.
f) Susu unta mengandungi bahan-bahan yang dapat mengatasi racun/toksik dan bacteria serta bahan-bahan yang dapat meningkatkan imuniti tubuh bagi melawan penyakit. Kerana itu susu unta amat sesuai diberikan kepada pengidap asma, diabetis, tuberculosis (batuk kering), radang hati (hepatitis), sirosis (penyakit hati; sel-sel hati mati), luka/ulser sistem penghadaman (digestive) dan kanser.
g) Susu unta mempunyai garam-garam mineral seperti kalsium, magnesium, potassium dan sodium yang lebih tinggi berbanding susu lembu dan kambing. Begitu juga ia kaya dengan zat besi, tembaga, manjiniz dan zink. Kelebihan ini menambah khasiat pengubatan yang ada pada susu unta khususnya bagi orang-orang yang menghadapi masalah tekanan darah rendah dan lemah sistem badan, begitu juga untuk kanak-kanak dan orang yang telah lanjut usia.
h) Susu unta kaya dengan vitamin C iaitu tiga kali ganda dari susu lembu dan 1.5 kali ganda dari susu ibu. Ini menambahkan lagi manfaat susu unta kepada penduduk yang tinggal di kawasan kering dan kemarau seperti padang pasir di mana mereka tidak berpeluang menikmati buah-buah dan sayur-sayuran kecuali jarang-jarang. Maka keperluan vitamin C oleh tubuh mereka ditampung oleh susu unta. Itulah kebesaran Allah yang sentiasa mencukupi keperluan hamba-hambaNya mengikut cara yang ditetapkannya.
i) Susu unta bersifat alkali, namun ia cepat berubah menjadi bersifat asid apabila dibiarkan beberapa lama.
(at-Tadawa Bi Alban al-Ibil wa Abwaliha, Syihab al-Badari Yasin, halaman 25-31, 110-115). Dipetik dari buku; 101 Hadis Pengubatan Nabi, ustaz Ahmad Adnan.


3) SUSU KAMBING; Pemerhatian saya hingga setakat ini belum lagi bertemu hadis Nabi SAW tentang khasiat/kelebihan susu kambing secara khusus, berbanding susu lembu dan susu unta (yang disebut oleh hadis-hadis sebelum ini). Kesimpulan saya setakat ini; dalam thib nabawi, susu unta dan susu lembu lebih baik. Dalam kitab Mustadrak al-Hakim terdapat hadis; "Pada susu lembu terdapat penawar bagi semua penyakit" (hadis no. 7423, menurut al-Hakim; hadis soheh). Namun difahami dari hadis sebelum ini bahawa manfaat susu lembu bergantung kepada daun/rumput yang dimakannya, kerana itu pemakanannya perlu diperhatikan. Malah terdapat hadis menyebutkan; "Nabi SAW melarang dari minum susu dari binatang ternak yang diberi makan najis" (Jami' at-Tirmizi; 1824, hadis hasan gharib).

Dari Ibnu ’Abbas –radhiyallahu ’anhu- menceritakan; ”Rasulullah –sallallahu ’alaihi wasallam- berkhutbah kepada orang ramai semasa hari Haji Perpisahan, di mana baginda bersabda; ”Sesungguhnya Syaitan telah kecewa untuk disembah di bumi kamu, namun ia berpuas hati untuk ditaati dalam perkara selain (ibadah) itu dari perkara yang kamu pandang kecil dari amalan-amalan kamu. Maka berjaga-jagalah wahai manusia. Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kamu sekelian rujukan yang jika kamu perpegang-teguh dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya. Sesungguhnya setiap muslim ialah saudara bagi muslim yang lain. Semua orang Islam adalah bersaudara. Tidak halal bagi seseorang dari harta saudaranya kecuali apa yang diberinya dari kerelaan hatinya. Janganlah kamu berlaku zalim. Janganlah kamu berpatah-balik kepada kekafiran selepas kematianku menyebabkan sesama kamu akan saling berbunuhan”.
(Riwayat Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak. Hadis ini adalah soheh. Lihat; kitab “المنتقى من كتاب الترغيب و الترهيب”, Dr. Yusof Al-Qardhawi, m.s. 111. Lihat juga; Soheh at-Targhib wa at-Tarhib, Syeikh Nasiruddin al-Albani, hadis no. 40).